Pesta Buku Perlis : Bengkel Penulisan Minit Mesyuarat

Bengkel Penulisan Minit Mesyuarat adalah anjuran anjuran PNM Perlis Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara bertempat di Dewan Syarahan Perpustakaan Negara Malaysia Negeri Perlis.Program ini telah menarik penyertaan seramai 130 orang terdiri daripada kakitangan perpustakaan, kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan serta setiausaha dan penolong setiausaha dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar negeri Perlis.

Bengkel dikendalikan oleh Munsyi Mohamad Roslan Bin Ghazali dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah. Beliau menjelaskan mesyuarat ialah satu aktiviti yang berdasarkan komunikasi dua hala antara individu dalam situasi formal. Mesyuarat diadakan untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat, menyelesaikan masalah berbangkit, memberi atau mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak dan membuat sesuatu keputusan. Semua butiran mesyuarat akan direkodkan untuk tujuan semakan, rujukan dan tindakan. Catatan butiran mesyuarat dilakukan secara padat, ringkas dan tepat serta berurutan dan mempunyai gaya bahasa yang tersendiri dalam satu dokumen yang dinamakan minit mesyuarat.
Ciri-ciri minit mesyuarat yang baik ialah:

· Penulisan minit mesyuarat hendaklah ringkas, tepat dan padat kerana laras bahasanya bersifat formal iaitu menggunakan kata dan ungkapan bahasa rasmi.

· Ayat-ayat yang digunakan perlu menggambarkan keputusan yang dibuat berdasarkan persetujuan ahli-ahli mesyuarat

· Gaya bahasa minit mesyuarat berbentuk kata-kata tertentu yang dijadikan ungkapan khusus.
Majlis diteruskan dengan sesi penerangan mengenai tatacara penulisan minit mesyuarat yang betul dari segi format, tajuk dan butiran am yang lain, agenda mesyuarat (yang umum), gaya bahasa dalam penulisan minit mesyuarat, perkara berbangkit, hal-hal lain dan penutup serta penggunaan ayat dan ejaan yang tepat.
Majlis ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan oleh Puan Tengku Fauziah binti Ku Mat, pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.


No comments: