Pameran & Kempen Daftar Ahli Perpustakaan @ Rimba Mas

 Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2012 dan Karnival Astro Fiesta 1 Malaysia 1 Felda sempena Sambutan Hari Keputeraan D.Y.M.M Tuanku Raja Perlis ke-69 telah diadakan pada 18 hingga 20 Mei 2012 di Felda Rimba Mas, Padang Besar Perlis. Pelbagai acara dijalankan disediakan seperti ceramah agama oleh Prof. Mohd Izie Hj. Ali, Wayang Pacak, derma darah, senamrobik, Perlis MTB Challenge 2012, Pertandingan futsal, bola sepak, bola jaring, walking for heart, persembahan waja diri, Konsert Astro Fiesta Mesta Belia 1 Malaysia 1 Felda dan sebagainya.
Acara ini dihadiri oleh D.Y.T.M Raja Muda Perlis dan D.Y.T.M Raja Puan Muda Perlis seawal jam 8.30 pagi dan seterusnya melancarkan Perlis MTB Challenge 2012. Baginda berdua juga turut mencemar duli untuk menyertai aktiviti senam robik 1 Malaysia dan Walking For Heart bersama penduduk kampung dan peserta belia yang lain. Pada jam 10.00 pagi, baginda bersama pemimpin yang lain menikmati jamuan teh. Baginda berdua merupakan mesra rakyat apabila sudi melayan karenah penduduk kampung, beramah mesra, sudi bergambar bersama walaupun cuaca panas pada hari tersebut.
Pada 19 Mei 2012, jam 8.30 malam turut diadakan Majlis Pelancaran  Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2012 dan Konsert Astro Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia 1 Felda. Antara artis yang mengadakan persembahan adalah Lan Typewriter, kumpulan Jinbara, Yazer serta beberapa artis astro yang lain.
Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Skuad Promosi Perpustakaan telah dijemput mengadakan pameran serta kempen daftar ahli perpustakaan. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat untuk menjadi ahli perpustakaan amat menggalakkan. Selain itu, mereka turut meluangkan masa berada di khemah perpustakaan untuk membaca buku yang disediakan oleh pihak perpustakaan.


Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Biro Sukan BAKERP menyertai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Kakitangan Awam Piala Y.B SUKPs sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis pada 19 Mei 2012. Pasukan perpustakaan yang diwakili oleh Library FC diwakili oleh seramai 11 pemain iaitu Jafizul, Zairol, Ridzuan Mat, Zairi, Wan Norasmizan, Norzaidi, Norazuan, Husaini, Mohd Hairian, Mohd Shukri dan Amiruniza.

 Keputusan perlawanan tidak menyebelahi perpustakaan apabila pihak RTM menarik diri dari bertanding dengan pihak JKR dan menyebabkan kelebihan mata pada JKR. Perpustakaan sekadar 1 menang, 1 kalah dan 1 seri dan tidak dapat melayakkan diri ke peringkat kumpulan.

Latihan Dikir Barat sempena Malam Perkhidmatan Awam 2012

Latihan Dikir Barat dibawah Biro Kebudayaan, BAKERP dijalankan pada setiap hari sebagai persiapan untuk menyertai persembahan Malam Perkhidmatan Awam 2012. Seramai lebih kurang 40 kakitangan PNM Perlis terlibat dalam persembahan dikir tersebut. Tema bagi persembahan Malam Perkhidmatan Awam 2012 adalah Jenaka Rama yang mengkehendaki setiap persembahan mempersembahkan aksi jenaka seperti lakonan, persembahan tarian dan sebagainya.

Oleh itu, perpustakaan telah memilih persembahan dikir barat yang diberi tajuk  Karot Apa Nak Jadi. Karot Apa Nak Jadi mengisahkan tentang seorang pemuda yang tidak berkahwin dan mempunyai beberapa pengalaman hendak memperisterikan wanita tetapi hasrat tidak tercapai atas beberapa masalah yang timbul. Setiap peserta dalam kumpulan mempunyai peranan sendiri seperti lakonan beberapa orang wanita yang dilakonkan oleh peserta lelaki, penyanyi dikir oleh En. Zairi, mainan alat muzik tradisonal seperti gendang, gitar, kompang oleh En. Muslim Sadaan, Tg. Nazim Tg. Saminan, En. Fauzi, Rizuwan Mat Radzi dan sebagainya. Manakala penari dikir oleh peserta lelaki dan wanita.

Kempen Daftar Ahli Perpustakaan @ Sekolah Kebangsaan Long Boh

Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Skuad Promosi PNM Perlis dengan kerjasama Perpustakaan Desa Alor Redis serta I-Play Toy Kuala Perlis telah mengadakan Pameran dan Kempen Daftar Ahli Perpustakaan di Sekolah Kebangsaan Long Boh pada 15 Mei 2012 (Selasa), 8.00 pagi. Pelbagai aktiviti disediakan untuk pelajar seperti pameran rangkakain perpustakaan, pameran aktiviti dan iplay toy library, permainan dam gergasi, jualan buku dan sebagainya.

Turut diadakan taklimat daftar ahli daripada penyelia perpustakaan, membaca bersama serta tayangan video korporat perpustakaan kepada para pelajar. Selain itu, tayangan pendidikan serta kuiz turut diadakan. Atas permintaan dari guru, para pelajar pra sekolah turut tidak ketinggalan mengadakan aktiviti yang dijalankan oleh I-Play Toy Kuala Perlis. 

Tujuan diadakan kempen daftar ahli ke sekolah-sekolah adalah untuk menggalakkan pelajar menjadi ahli perpustakaan, mempromosikan perkhidmatan perpustakaan kepada pelajar dan guru dan mendedahkan kepada pelajar betapa pentingnya menimba ilmu dengan membaca dan hubung kait antara perpustakaan dan menimba ilmu.



Rapat 1 Malaysia : Majlis Pelancaran Gotong Royong Perdana & Ziarah Kasih sempena Sambutan ke- 69 Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis

PNM Perlis melalui Skuad Promosi PNM Perlis telah megadakan pameran dan kempen daftar ahli perpustakaan sempena Program Rapat 1 Malaysia yang berlangsung pada 5 Mei 2012 (Sabtu), 8.00 pagi bertempat di Padang Permainan Kg. Baru Kok Klang, kawasan Chuping, Perlis. Program ini merupakan anjuran daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) negeri Perlis. DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama DYTM Raja Puan Muda Perlis berangkat mencemar duli merasmikan program tersebut. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti kenduri rakyat, pameran jabatan, pemeriksaan kesihatan, senam seni, lawatan dan ramah mesra bersama penduduk kampung dan sebagainya.

Perpustakaan Awam Negeri Perlis turut mengambil peluang mengadakan kempen daftar ahli perpustakaan iaitu PD Kok Klang dan Perpustakaan Pusat yang berhampiran dengan kawasan tersebut. Selain dari itu, perpustakaan turut mengadakan aktiviti membaca jawi, membaca berita dan membaca buku cerita kepada orang ramai. Aktiviti tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Di sini, daripada pemerhatian dapat disimpulkan bahawa masyarakat Malaysia adalah celik jawi dan menyangkal dakwaan yang menyatakan majoriti daripada masyarakat tidak tahu membaca.